TEKAN PLAY UNTUK MENDENGAR RADIO SINAR.FM

sinar fm


Sinar FM
speakermusicspeaker
Please wait for 10-20 seconds Radio is Loading…

Saturday, December 31, 2011

Zero Point


Kanak-kanak perempuan menggemari permainan ini. Manakala kanak-kanak lelaki tidak meminatinya dan mereka lebih gemar membuat onar.

Getah gelang dijalin menjadi rantaian getah yang panjang.

Kemudian kesemua pemain melakukan undian bagi menentukan giliran untuk tempat pertama, kedua dan seterusnya. Pemain yang kalah di dalam undian ini akan mengambil giliran di tempat yang terakhir.

Dua orang pemain ditugaskan memegang kedua belah hujung rantaian getah. Manakala pemain giliran pertama memulakan permainan dengan cara melompat melepasi rantaian getah yang dipegang oleh rakan mereka.

Kedudukan getah dinaikkan mengikut tahap permainan yang telah ditetapkan.

Jika pemain pertama gagal melepasi tahap permainan tertentu, maka pemain ini dikira mati dan giliran seterusnya diberikan kepada pemain yang berikutnya.

Read more...

Monday, October 24, 2011

Permainan Sepak Raga

Permainan sepak raga telah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan.Rakyat Biasa juga menggemari permainan ini. Pada masa sekarang sepak raga lebih dikenali dengan nama sepak takraw. Ia bukan hanya dimainkan oleh orang Melayu sahaja tetapi bangsa-bangsa lain, malah telah dikenali di seluruh.

Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.

Cara Bermain



Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.




Read more...

Sunday, June 5, 2011

Sepak Bulu Ayam

Permainan sepak bulu ayam terkenal sejak dahulu kala. Dapat dibanggakan, permainan ini sampai kini masih menjadi pilihan untuk beriadah dan mengisi waktu lapang. Biasanya kanak-kanak lelakilah yang suka benar dengan permainan ini. Lebih menarik kerana permainan ini sesuai dimainkan bila-bila masa sahaja. Biasanya waktu petanglah yang sesuai untuk bermain. Dari segi pemilihan tempat pula, seelok-eloknya biarlah kawasan lapang agar pergerakan pemain tidak terbatas.

Berkenaan bulu ayam yang digunakan, bentuknya sekali imbas hampir menyerupai bulu tangkis yang ada sekarang ini. Penyediaannya tidak terlalu rumit atau memakan masa yang panjang. Tidak juga membebankan dari segi modal. Malah boleh dikatakan sesiapa juga yang ingin bermain mampu membuatnya sendiri. Ada yang perlu ada 3, 4 atau 5 helai bulu ayam yang keras dan sederhana besarnya diikat pada sekeping getah tebal. Boleh juga gunakan getah tiub tayar. Getah itu terlebih dahulu dipotong bulat dengan ukuran garis pusatnya kira-kira 4 cm. Getah itu digamkan berlapis-lapis supaya tebal. Kemudian sebatang paku pendek di cucuk di tengah-tengahnya. Paku itu berfungsi sebagai pemberat dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal bulu-bulu ayam. Maka siaplah bulu ayam untuk dimainkan.

Ia lebih seronok dimainkan beramai-ramai atau berpasukan. Kalau dah tak ada, berdua pun jadilah. Dahulu, waktu petang di kampung-kampung, permainan inilah menjadi pilihan. Pemain tidak boleh marah, maka senda gurau tidak ketinggalan dan membuatkan gelanggang riuh rendah. Sekarang, walaupun tidak sekerap dahulu, kita masih dapat menyaksikan permainan warisan ini. Masih ada kanak-kanak yang menghidupkan permainan ini. Di sekolah, pada waktu rehat umpamanya, kedapatan murid-murid yang menunjukkan kemahiran menimbang bulu ayam ini.

Permainan ini lebih menekankan kemahiran menimbang bulu ayam dengan kaki. Memandangkan permainan ini merupakan perlumbaan mengutip mata, pemain akan menimbang bulu ayam sekerap yang mungkin tanpa menjatuhkannya ke tanah. Semakin tinggi jumlah timbangan, semakin terserlahlah kemahiran si pemain. Jadi, si pemain mesti pantas pergerakkan kakinya. Barangkali atas faktor inilah maka kaum perempuan tidak menggemari permainan ini.

Dari segi peraturan, pemain yang berjaya membuat timbangan yang banyaklah akan menjadi juara. Bulu ayam perlu di sepak dengan tepi tumit atau sebelah dalam kaki. Dalam keadaan tertentu, pemain dibenarkan menyambut bulu ayam dengan kepala, dada atau lutut. Asalkan bukan dengan tangan kerana jika terkena tangan, pemain dikita "mati". Bagaimanapun timbangan yang dibuat selain daripada kaki tidak dikira. Sebelum permainan dimulakan, hak memulakan permainan mesti ditentukan.

Satu pencapaian yang dikira memuaskan jika kiraan mencecah tiga angka. Lagi tinggi kiraan, lagi bersemangatlah bermain. Kiraan pula diiringi gemuruh dengan sorakan penonton. Pemain kian kental semangatnya. Moga-moga, bulu ayam dapat ditimbang terus dengan elok, tidak terburai dan tidak ditiup angin kencang. Moga-moga si pemain tidak tersepak akar atau batu dan bulu ayam jatuh ke tanah.

Read more...

Wednesday, May 25, 2011

Tuju Para

Tuju Para yang biasanya untuk mengikat bungkusan, dijadikan satu alat istimewa dalam permainan kanak-kanak. Ternyata ilham kanak-kanak begitu kreatif dan memungkinkan apa sahaja objek dijadikan permainan. Mungkin setelah meneliti sifat-sifat gelang getah yang menganjal dan memberi (elastik), tercetuslah ilham untuk mewujudkan sejenis permainan dalam bentuk melastik atau membidas.

Permainan Tuju Para adalah bukti bahawa kanak-kanak memang kreatif dalam mempelbagaikan permainan. Dalam permainan ini, peralatan yang diperlukan ialah sejumlah getah dan dua batang kayu lurus kira-kira 30 cm. Jika tidak ranting atau batang anak kayu sudah memadai. Gelang mudah didapati. Biasanya kedai-kedai runcit memang ada gelang getah. Harganya pun murah. Ini memberi peluang kanak-kanak terbabit bermain dengan selesa tanpa kekangan masalah kewangan.

Dua orang pemain sudah memadai bagi memainkan permainan "Tuju Para". Namun, apalah seronoknya bermain dalam bilangan sekecil itu. Jika bermain beramai-ramai barulah ada semangat hendak bersaing. Permainan ini hanya memerlukan satu kawasan kecil kerana tidak ada pergerakan aktif seperti berlari atau melompat. Bahkan keseluruhan aktiviti agak pasif. Sebelum permainan dimulai, kedua-dua kayu itu dipacak ke tanah dalam keadaan selari. Kayu-kayu itu disebut tiang. Jarak di antara tiang ke tiang bergantung kepada keadaan. Kalau ramai pemain dan banyak getah yang hendak dipasang, jaraknya agak jauh.

Gelang getah yang disidai pada alang hendaklah dipasang pada kedudukan hampir mencecah tanah. Seelok-eloknya 1 inci dari tanah. Bagi membidas gelang-gelang getah yang disangkut di alang, satu alat khas yang dipanggil "getah ibu" diperlukan. "Getah ibu" ini daripada gelang getah juga. "Getah ibu" mempunyai struktur kelapa yang terdiri daripada satu atau beberapa urat gelang getah, bergantung kepada saiz getah ibu. Fungsi kepala ialah untuk menghasilkan anjalan dalam proses membidas.

Menentukan siapa memulakan permainan Tuju Para agak mudah. Para pemain akan berbaris di belakang satu garisan panjang dalam kedudukan selari, bahu-membahu dan menghadap getah-getah yang disidai di alang. Maka pemain yang berbaris di kanan sekali berhak memulakan permainan. Pemain akan menunjukkan ibunya ke arah ratusan getah yang disidai di alang di hadapannya. Misinya ialah membidas gelang-gelang getah itu sehingga bertaburan di atas tanah. Dia perlu memastikan gelang-gelang getah yang jatuh dari alang itu tidak bersentuhan atau berhubung dengan tiang, alang atau mana-mana getah yang masih tersidai di alang.

Biasanya bidasan yang kuat akan membuatkan gelang-gelang getah itu terpelanting atau terlantun dan jatuh berselerak di tanah dalam lingkungan yang luas. Jika bidasan menyipi atau getah ibu terbelit atau terlekat di getah alang, peluang bermain akan tertutup serta merta. Bertuahlah pula peluang pemain yang berjaya menceriakan gelang-gelang getah itu dari alang atau tiang "berkaran". Dia akan mengutip gelang-gelang getah itu dan membilang jumlah gelang getah yang diperolehi adalah jumlah mata diperolehi.

Setelah semua gelang getah disatukan pemain pun ditamatkan. Masing-masing pun membilang mata yang dipungut.

memori-kedah.com

Read more...

Laga Biji Getah

Bagi kanak-kanak bermain tidak kira apa jenis dan caranya tetap mengisi masa dan menggembirakan mereka. Ada permainan yang tidak memerlukan tempat dan waktu yang khusus. Ada satu objek di ladang getah yang mencetuskan idea untuk dijadikan permainan iaitu biji getah. Tidak sukar untuk mendapatkannya, lebih-lebih lagi jika bertepatan musim biji getah luruh.

Dalam permainan laga biji getah ini, kekuatan dan ketahanan tempurung dan ketahanan inilah yang hendak diuji. Permainan laga biji getah ini hanya sesuai untuk kanak-kanak lelaki sahaja. Ini kerana untuk memecahkan biji getah itu memerlukan tenaga yang banyak dan tapak tangan yang kuat. Dari segi teknik, permainan ini agak pasif tetapi mendedahkan kepada kecederaan tapak tangan sekiranya kurang berhati-hati. Permainan ini hanya memerlukan kekuatan tapak tangan semata-mata. Berdua pun sudah memadai untuk menyempurnakan permainan ini. Namun penglibatan lebih ramai pemain pastinya lebih menyeronokkan.

Para pemain masing-masing menyediakan buah getah yang terbaik di antara semua buah getahnya dipanggil "jaguh". Bisanya biji getah yang kuat adalah padat isinya, bersaiz kecil dan bersudut sedikit. Bucu ini nanti akan menjadi "penukul" untuk membinasakan biji-biji getah pencabar. Bagi menentukan siapa yang dahulu bermain, "jaguh" masing-masing akan dicabar dalam ujian ke atas 10 biji getah yang diberi secara rawak oleh pengadil. Pemilik "jaguh" yang berjaya menewaskan banyak biji getah adalah layak menduduki tempat terawal bermain.

Pemain yang berhajat untuk berlawan hendaklah menyediakan seberapa banyak biji getah yang mungkin. Mata diperolehi apabila "jaguh" masing-masing berjaya memecahkan satu biji getah yang diberi oleh pengadil. Pengadil akan memberi mata cara menghadiahi 1 biji getah. Biji getah yang ini bukan untuk diuji tetapi hendaklah di simpan sebagai bukti pungutan mata. Jika "jaguh" tewas kepada getah pencabar, peluang bermain terpaksa di serahkan kepada pemain lain.

Bagi mengelakkan penipuan, pengadil akan mengenal pasti yang mana biji getah pencabar. Biasanya pengadil menanda biji getah pencabar dengan cara mengikisnya sedikit. Ada juga pemain yang nakal dan cuba menipu untuk menang. Penipuan dibuat dengan cara melagakan biji getah pencabar dengan anak batu yang disembunyikan dalam genggaman. Ini menjadi tanggungjawab pengadil untuk mengelakkannya. Begitulah seronoknya permainan ini. Ibubapa tentunya tidak keberatan mengizinkan anak-anak menghabiskan masa dengan permainan ini.


Kipas angin

Jangan tak percaya, kipas angin boleh diperbuat daripada biji getah. Sila lihat lukisan kretif berikut. hehe.


Model: Kipas angin dwi fungsi (kipas satey, cucuk satey)
Kelebihan: jimat tenaga, tidak memerlukan elektrik.
Kekurangan: kecik, rasa macam ditiup semut aje.


Memang masyuk. Korek keluar isi biji getah yang berminyak putih itu. Buat tiga lubang seperti gambarajah yang dilukis cantik di atas. Tali benang tu berfungsi sebagai enjin kipas ibarat tali yoyo yang menukarkan tenaga kimia korang kepada tenaga kinetik. Setiap kali tali benang buat u-turn (selepas kita tarik berpusing, pusingan itu akan akhirnya menarik benang itu kembali mcm yoyo), kena harmonikan keluar masuk benang itu.

Itu saja cerita pasal biji getah. Kalau bosan main biji getah, kitorang kumpul susu getah kering kat torehan pokok getah tu. Jadinya, getah kering itu panjang melilit di kesan torehan. Gulung-gulung, buat bola.

Read more...

Sunday, May 22, 2011

Cakplong ( Senapang Buluh )

BILA duduk bersendirian sambil melihat kanak-kanak zaman sekarang bermain play station, saya terkenang permainan saya waktu kecil dulu iaitu permainan capelong. Walaupun permainan capelong ini tidak sehebat play station tetapi capelong mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Selain dari dapat membentuk kerjasama yang baik, persahabatan yang erat dan usaha yang bersungguh-sungguh kerana segala peralatan dibuat sendiri, ia jua dapat membina daya kreativiti seseorang kanak-kanak.

Untuk membuat capelong, pagi-pagi lagi saya telah menyelitkan parang milik bapa saya di pinggang dan mulai meredah belukar untuk mencari batang buluh yang sesuai. Setelah siap, terpaksa pula saya memanjat pokok cenerai untuk mendapatkan buah putiknya sebagai peluru capelong. Selalunya dalam soal ini saya tidak keseorangan, ramai lagi rakan saya termasuk juga rakan perempuan akan bersama-sama. Di situlah letaknya keseronokkan dan keakraban persahabatan yang sehingga kini masih melekat erat dalam sanubari saya.

Permainan capelong juga dikenali dengan nama senapang buluh terutama oleh kanak-kanak di kampung saya. Senapang buluh merupakan alat permainan yang ringkas. Seperti namanya, ianya diperbuat dari seruas buluh yang panjangnya dipotong mengikut keperluan si pembuat. Namun panjang laras senapang yang biasa adalah lebih kurang sekaki.

Terdapat tiga komponen peralatan capelong atau senapang buluh iaitu laras, gandar pengepam (dipanggil gucuh atau gocoh) dan hulu. Buluh temiang paling baik untuk tujuan ini. Boleh dikatakan ia merupakan sejenis ‘pump-gun’ tradisional yang berkuasa rendah. Gucuh atau gocoh biasanya juga diperbuat dari buluh (buluh
biasa yang lebih tebal kulitnya) diraut kerana ia lurus dan boleh dibentuk bulat dengan senang. Sekali imbas ia kelihatan seperti pam tangan basikal.

Hulu senapang panjangnya lebih tiga inci atau kurang. Dan biasanya melibatkan bahagian yang mengandungi ruas untuk berfungsi menopang gucuh dengan baik selain dari senang untuk digenggam. Selain dari untuk digenggam, hulu ini penting untuk membolehkan peluru senapang dipupuh terlebih dahulu sebelum diasak jauh ke dalam laras.

Mudah untuk senapang yang telah siap dioperasikan. Sebiji peluru akan diasak terlebih dahulu. Ia dipadatkan rata-rata supaya muat-muat memenuhi lubang laras sehingga ia menjadi separa kedap ruang udara. Peluru kedua juga diisi menggunakan cara yang sama. Oleh kerana ia dipupuh rata-rata, kedua-dua peluru berkenaan akan memenuhi ruang laras. Udara terperangkap di antara peluru pertama dan kedua. Peluru capelong atau senapang buluh yang sering digunakan ialah buah cenerai muda atau kertas yang telah direndam di dalam air.

Buah cenerai akan dimasukkan sebiji-sebiji sementara kertas yang telah direndam hendaklah digintil terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam lubang capelong sebelum ditolak dengan gucuh.

Sewaktu melepaskan peluru buah cenerai harus berhati-hati kerana jika terkena mata kawan boleh menjadi buta. Selalunya, untuk menjaga mata dari terkena peluru capelong, kami akan menggunakan lekar sebagai perisai. Lekar yang kami ambil di dapur milik emak yang sering meletakkan periuk panas selepas memasak begitu berkesan dalam aspek penjagaan mata dan tidak ada sesiapa pun antara kami yang buta akibat tembakan peluru capelong. Lekar tersebut dibubuh tali getah di dua bahagian tepinya kemudian diikatkan di belakang kepala. Di sini wujud satu kreativiti minda yang wajar dipuji kerana penggunaan lekar tercipta secara spontan.

Read more...

Tuju Tin

Perkataan "tuju" atau dengan istilah lainnya ialah "baling" sudah dapat kita gambarkan keadaan tempat untuk memainkan permainan ini sudah semestinya mempunyai kawasan yang luas. Pemain dalam permainan ini tidak terhad asalkan dapat dibahagikan sama banyak antara ke dua-dua kumpulan. Alatan yang diperlukan adalah ringkas dan mudah di perolehi iaitu tin susu kosong dan bola tenis atau seumpamanya.

Permainan ini adalah mudah dimainkan, tin susu disusun membukit di tengah padang oleh kumpulan A manakala pemain kumpulan B pula membuat balingan. Sekiranya susunan tin itu jatuh akibat lontaran bola tersebut, maka pemain kumpulan A akan cuba merebut bola itu dengan tujuan membalingkan kepada salah seorang ahli kumpulan B sebelum mereka sempat menyusun semula tin itu. Sementara itu, pelontar tadi hendaklah menyusun semula tin tersebut secepat mungkin dan boleh ditolong oleh rakan-rakan sekumpulan dengannya.

Salah seorang pemain menuju tin yang disusun supaya pecah dari susunan asal.

Ini memerlukan kebijaksanaan para pemain untuk bekerjasama. Jika pelontar tadi berjaya menyusun semula tin-tin itu sebelum kena baling daripada kumpulan A, maka kumpulan B mendapat satu mata. Jika pemain kumpulan B terkena balingan daripada kumpulan A maka pelontar itu dianggap "mati" dan pemindahan balingan pula berpihak kepada kumpulan A. Andainya bola yang dilontarkan ke susunan tin itu dapat disambut sebelum mencecah tanah, maka ke semua pemain kumpulan B dikira "mati".

Perkara berikut akan berulang sehinggalah salah satu kumpulan mendapat kiraan mata yang tertinggi dalam masa yang ditetapkan atau kedua-dua kumpulan sudah bosan untuk meneruskannya.

Read more...

Saturday, May 21, 2011

Main Guli

Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.

Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.

Gelanggang

Satu bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam 7sm. dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m. daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.

Cara Bermain

Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.

Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.

Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.

Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.

Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.

Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.

Read more...

Toi ( Galah Panjang )

Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan

Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.



Cara Bermain Toi / Galah Panjang

Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai.

Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.

Peraturan Permainan

Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.

Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.

Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.

Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.

Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.

Read more...

Teng-Teng ( Jengkek )

Permainan ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kanak-kanak perempuan sering memainkan permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan permainan yang tidak begitu lasak serta memerlukan tenaga yang banyak dan ianya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja.

Di kampong-kampong gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas tanah sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di kawasan taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah. Mereka akan menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat dilukiskan di atas jalan bertar.

Teng teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk berteng teng.

Gelanggang & Gundu

Gelanggang teng teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja. Terdapat sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Permainan dijalankan mengikut urutan seperti rajah di bawah.


Gelangang Teng Teng

Selain daripada gelanggang, gundu adalah juga sebagai perkakasan penting yang dimainkan bersama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja, seperti pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper.

Gundu ini adalah sebagai tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelangang.

Cara Bermain

Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

Bagi memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar ia di anggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran pula.

Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan dimana gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.

Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak kedua dan keempat, pemain hendaklah memijak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.

Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana gundu berada di dalamnya, samada kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira mati, giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.

Membina Rumah

Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan melompat kedalam setiap petak dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah melepasi petak ketujuh tanpa melompat kedalamnya dan terus ke petak lima. Sambil berdiri menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain dikehendaki menundukkan kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah disambut sebelum jatuh ke tanah, jika pemain tidak dapat menyambutnya ia dikira mati dan acara timbang dilakukan semula setelah giliranya sampai kemudian. Pemain terus melompat ke petak pertama dan keluar dari garisan permulaan.

Untuk mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena gaisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.

Read more...

Monday, May 16, 2011

Main Sembunyi-Sembunyi

Main Sembunyi-Sembunyi atau juga dipanggil sebagai aci sorok ialah sejenis permainan budak-budak yang turut dimainkan di Jitra ketika aku kecik-kecik dulu. Permainan ini dimainkan dengan sebilangan pemain yang akan bersembunyi dalam had kawasan tertentu dan dicari oleh seorang atau lebih pencari.

Ia dimainkan oleh budak-budak dan ia sangat mudah, tanpa had bilangan pemain dan tidak memerlukan peralatan. Lebih ramai yang bermain mendatangkan lebih keseronokan dan bertambah meriah lagi. Biasanya sapa yang dapat sembunyi paling lama dikira pemenang.


Sebelum permainan dimainkan, kesemua pemain akan mencari seorang yang dinamakan pencari. Undian secara lai lai li tam plong digunakan untuk semua pemain memilih geng masing-masing.

Setelah kedua-dua pauk atau geng ditentukan, geng yang jadi dulu akan berdiri sambil menutup matanya di rumah induk yang berbentuk bulat. Kiraan akan dibuat 1 hingga 100 atau 50. Dibilang dengan kuat. Setelah selesai kiraan dibuat, pencari akan mula mencari geng lawan bersembunyi disekeliling kawasan yang telah ditetapkan. Jika terdapat ahli geng lawan yang bersembunyi di luar kawasan yang telah ditetapkan ia dikira habis dan akan mengambil peranan sebagi pencari pulak.


Sekiranya pencari telah dapat tangkap salah seorang dari geng lawan, hendaklah disebut tangkap dan bilang kuat hingga kiraan 10. Dalam masa yang sama ahli lain dari geng tersebut akan berlari ke rumah induk untuk mencuit geng nya yang telah kena tangkap untuk membebaskan gengnya. Pencarian ini akan dilakukan berterusan sampai ke semua pemain yang bersembunyi tadi dujumpai.

Setelah selesai kesemua pemain yang menyorok ditemui dan tiada seorang pun yang dapat membantu membatalkan cuitan pencari ke rumah induk, maka pemain yang mula-mula ditemui itu akan jadi pencari pula.

Read more...

Main Batu Tujuh



Batu Tujuh atau jugak dipanggil Batu Seremban juga dipanggil sebagai permainan selambut atau Serembat di tempat-tempat lain selain dari Jitra. Selalunya dimainkan pada waktu lapang. Permainan ini biasanya dimainkan oleh budak-budak pompuan sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.

Biasanya ia menggunakan biji guli, biji getah atau ketui batu yang kecil dan berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak tujuh bijik. Objek-objek ini dikenali sebagai buah. Gelanggangnya adalah Permukaan rata. Biasanya dimain di bawah rumah atau beranda rumah.

Read more...

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP